Patutlah Orang Dulu-Dulu Suka Tanam & Makan Labu. Banyak Manfaat Kesihatan Terutamanya Untuk Cegah Kencing Manis.

Posted on

Patutlah Orang Dulu-Dulu Suka Tanam & Makan Labu. Banyak Manfaat Kesihatan Terutamanya Untuk Cegah Kencing Manis.

Labu, buah yang terhasil dari tumbuhan menjalar yang mudah ditemui di negara ini. Ia banyak digunakan dalam masakan sama ada dalam penyediaan lauk pauk, manisan, kuih muih dan sebagainya. Malah manisan seperti Sira Labu, antara hidangan tradisi popular  yang menjadi sajian penting di majlis-majlis pekahwinan terutamanya bagi negeri-negeri Pantai Timur suatu ketika dahulu.

 

MANFAAT LABU

Tapi jangan tak tahu, labu ini bukan sahaja sedap, malah banyak manfaatnya. Antara khasiat buah ini adalah:

1. Dengan memakan buah labu secara teratur dikatakan boleh memperbaiki fungsi dan kerja pankreas akan baik dan insulin dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Selain itu buah tersebut tidak menaikkan zat gula darah dalam tubuh sehingga sangat baik untuk mencegah penyakit diabetes.

2. Labu kuning memiliki manfaat untuk melindungi sistem pencernaan agar mampu berperanan dengan baik kerana kandungan serat yang tinggi. Serat itu dapat membantu menjauhkan kita daripada sembelit, buasir dan masalah pencernaan lainnya.

3. Serat juga sangat disarankan di dalam diet sihat, diet untuk mengontrol kolesterol, diet penurunan berat badan dan diet untuk diabetes.

4. Labu juga sangat baik untuk kesihatan buah pinggang dan mampu mencegah penuaan awal kerana mengandung antioksidan dan mengubati bisul.

5. Labu kaya akan vitamin A, C dan E dan mineral, yang berfungsi untuk membantu meningkatkan kekebalan tubuh dan anti radikal bebas.

JENIS-JENIS LABU

Terdapat banyak jenis labu yang ada di pasaran. Antaranya ialah:

 

Labu Air – Teksturnya keras, warna kulit kehijauan, dan isi buah berwarna putih. Ia boleh dijadikan manisan kering atau dimasak menjadi lauk. Labu jenis ini mengandung getah yang lebih banyak dibandingkan labu lain. Oleh kerana itu, kupaslah labu di bawah air mengalir. Labu air mengandung kalsium, zat besi, dan vitamin C. Selain itu labu air kaya dengan serat, mineral, dan kalsium.

Butternut Squash – Rasa dan warnanya mirip dengan labu kuning, tetapi bentuknya oval dengan tekstur isi buah lebih lembut. Sangat sesuai dijadikan pelbagai hidangan pencuci mulut seperti  seperti pudding dan kek. Seperti labu kuning, Butternut Squash juga sangat kaya vitamin A, C, mineral, dan serat.

Courgette – Courgette (Cucurbita Pepo) sangat popular di Eropah dan Timur Tengah. pelbagai masakan lazat tercipta daripada labu yang mirip mentimun ini. Labu yang masih muda sangat sesuai digunakan dalam masakan. Labu ini sangat lazat jika diisi dengan daging, campuran salad, ataupun ditumis dengan makanan laut.

Labu Mi – Dipanggil labu mi atau labu spageti kerana isinya seperti mi bila dikeluarkan.Bentuknya pula mirip labu kuning. Semakin tua, tekstur isi buahnya akan semakin padat menyerupai mi. Labu ini sangat enak dibuat aneka puding, kuih, atau diolah menjadi sayuran, dipanggang dengan daging ataupun ditumis.

Kabucha – Labu ini dipercayai berasal dari Jepun. Di pasaran ada dua jenis yang hanya berbeza bentuk. Acorn Squash berbentuk oval dan Kabucha pula berbentuk bulat. Enak dimasak menjadi sup, stew sayuran, atau hidangan penutup.

Labu Siam(Sechium Edule) –  Bentuk labu siam (Sechium Edule) lebih kecil daripada jenis labu lain. Sifatnya pun bergetah dengan permukaan yang berbiku-biku. Labu ini sesuai dijadikan masakan sayur, seperti sambal goreng, sayur bersantan atau dikukus sebagai kudapan.

RESIPI MENGGUNAKAN LABU

Ha..dah tahu kebaikan labu ni, lepas ni bolehlah selalu beli dan masak labu untuk ahli keluarga anda. Macam-macam boleh dihasilkan. Oleh itu, RASA kongsikan DUA resipi yang boleh anda cuba.

1. PAI LABU

BAHAN-BAHAN KULIT PAI:

  • 12gm tepung gandum
  • 55gm mentega
  • 40ml air
  • Secubit garam
  • Air secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Di dalam satu mangkuk, satukan tepung, garam dan mentega dan ramas hingga menjadi seperti serbuk roti.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh.
  3. Bentukkan kulit pai di dalam acuan pai bersaiz 16 cm.
  4. Cucuk dengan garpu di bahagian tengah pai dan bakar pada suhu 180˚C selama 20 minit.
  5. Angkat dan ketepikan.

BAHAN INTI:

  • 65gm gula
  • 1 sudu teh serbuk kulit kayu manis
  • ½ sudu teh garam
  • 100gm puri labu
  • 100gm susu segar
  • 1 biji telur

CARA MEMASAK:

  1. Satukan semua bahan dan gaul hingga sebati.
  2. Tuangkan ke dalam kulit pai yang dibakar tadi dan bakar semula pada suhu 180˚C selama 50 minit.
  3. Angkat dan sedia dihidangkan.

INFO CHEF: Untuk menjimatkan masa, boleh membeli pastri segera  yang sedia terjual di pasaran.

2. MASAK LEMAK LABU KACANG PANJANG

BAHAN-BAHAN:

  • ½ biji labu | potong
  • 6 tangkai kacang panjang | potong
  • 1 batang serai
  • 400ml santan cair
  • 400ml santan pekat
  • 1 biji bawang  besar
  • 3 ulas bawang putih
  • ½ sudu teh serbuk kunyit
  • 5-10 tangkai cili padi
  • Garam dan gula secukupnya

CARA MEMASAK:

  1. Kisarkan cili padi, bawang besar dan bawang putih hingga hancur.
  2. Masukkan santan cair ke dalam peruk dan tuang bahan kisar ke dalam periuk tersebut bersama serai yang dititik.. Gaul sekata.
  3. Masukkan kepingan dan masak hingga kuah mendidih.
  4. Apabila labu sedikit lembut, masukkan kacang panjang dan santan pekat. Gaul sebati.
  5. Tambahkan sedikit serbuk kunyit dan perasakan dengan gula dan garam secukup rasa. Gaul sebati dan biar ia mereneh.
  6. Apabila labu sudah empuk, matikan api dan hidangkan.

INFO CHEF: Boleh lebihkan cili padi jika inginkan rasa lebih pedas.

 

 

 

Source:Rasa.my